Date Release: 23/10/2023
Mengapa Berat Bayi Menurun Selepas Lahir? Ketahui Punca-Puncanya
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa berat bayi anda menurun beberapa hari selepas lahir? Sebaik sahaja lahir, bayi anda akan ditimbang beratnya dan akan direkodkan. Beberapa hari selepas itu anak anda kan ditimbang semula bagi memperoleh berat baharu. Pasti anda terkejut mengapa berat bayi menurun.
Sebenarnya, penurunan berat badan pada bayi setelah lahir adalah normal. Biasanya, bayi akan kehilangan beratnya kira-kira 5-10% dalam beberapa hari pertama setelah lahir. Antara sebab berat bayi anda turun ialah :
· Kehilangan Cecair
Bayi yang baru lahir membawa cecair badan tambahan dan mereka akan kehilangan cairan setelah lahir melalui air ketuban, peluh, dan air kencing.
· Penyusuan
Bagi sesetengah bayi, mereka mungkin memerlukan bantuan semasa penyusuan seperti cara lekapan, hisapan dan posisi menyusu.
· Kalori Defisit Susu ibu memerlukan sedikit masa untuk menghasilkan susu mengikut keperluan bayi kerana itu keperluan kalori bayi mungkin sedikit menurun menjadi punca mengapa berat mereka turun.
Tips untuk membantu bayi anda mendapatkan semula berat badan :
· Susu Dengan Kerap
Bayi baru lahir mempunyai perut yang kecil dan perlu makan dengan kerap jadi pastikan bayi anda kerap menyusu. Sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali penyusuan dalam tempoh 24 jam.
· Posisi Penyusuan Yang Betul. Jika anak anda sedang menyusu, pastikan bayi anda melekap dengan baik dan berada di posisi yang betul semasa penyusuan. Lekapan yang betul semasa menyusu badan membolehkan bayi anda mendapat susu yang mencukupi semasa setiap sesi penyusuan.
· Tawarkan Kedua-dua Payudara
Jika bayi anda sedang menyusu badan, tawarkan kedua-dua payudara di setiap sesi penyusuan untuk memastikan bayi anda mendapat ‘hind milk’ yang tinggi lemak dan kalori.
· Bekalan Susu Mencukupi
Jika bayi anda menyusu dengan susu badan, pastikan anda dapat menghasilkan susu yang mencukupi.
· Pemeriksaan
Lakukan pemeriksaan yang ditetapkan supaya dapat memantau pertumbuhan bayi anda.
· Persekitaran Penyusuan yang Tenang. Kurangkan gangguan dan bunyi semasa waktu penyusuan untuk membantu bayi anda memberi tumpuan semasa menyusu.
· Sentuhan Kulit ke Kulit
Luangkan masa dengan melakukan sentuhan kulit ke kulit dengan bayi anda, kerana ia boleh membantu menguatkan ikatan dan menggalakkan penyusuan.
· Elakkan Penyusuan Berlebihan
Walaupun penting untuk memastikan bayi anda mendapat cukup susu, elakkan penyusuan berlebihan kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan penghadaman.
Biasanya bayi anda akan mula menambah berat badan setelah dua hingga tiga minggu selepas lahir. Jangan tinggalkan temujanji pemeriksaan kesihatan bayi anda selepas lahir.
Walaupun penurunan berat badan bayi selepas lahir adalah normal, penting untuk anda terus memantau perkembangan berat badan bayi anda dan perhatikan sekiranya berat badan bayi anda terus menurun. Jika anda merasa risau tentang kesihatan bayi anda, segera dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.