Date Release: 26/10/2023
Jenis Najis Bayi Yang Perlu Ibu Ayah Ambil Tahu
Najis bayi boleh berbeza dari segi warna, konsistensi dan kekerapan. Ia bergantung kepada pelbagai faktor iaitu umur, diet dan kesihatan bayi. Dengan memantau najis bayi anda, anda boleh memantau tentang kesihatan dan pencernaan mereka. Berikut ialah beberapa maklumat tentang najis bayi :
1. Mekonium
Bayi yang baru lahir akan mengeluarkan najis pertama iaitu mekonium. Ia biasanya melekit dan berwarna hitam kehijauan.
2. Najis Peralihan
Apabila bayi mula mencernakan susu yang diminum samada susu ibu atau susu formula, warna najis akan berubah kepada warna coklat kehijauan yang lebih cerah. Ianya mungkin kurang melekit daripada mekonium.
3. Najis bayi yang minum susu formula
Najis bayi yang diberi susu formula boleh berbeza dari segi warna dan konsistensi. Ia biasanya lebih pejal dan mungkin berwarna coklat. Bayi yang diberi susu formula mungkin kurang kerap membuang air besar berbanding bayi yang disusukan.
4. Najis bayi yang minum susu ibu
Najis bayi yang minum susu ibu selalunya berwarna kuning atau berwarna mustard. Susu ibu mudah dihadam, jadi bayi yang minum susu ibunya biasanya kurang untuk membuang berbanding bayi yang minum susu formula.
5. Perubahan najis
Apabila bayi mula makan makanan pejal, najisnya akan mula berubah lagi. Warna dan konsistensi akan berbeza-beza bergantung pada jenis makanan yang mereka makan.
6. Lendir dan Darah
Walaupun sejumlah kecil lendir dalam najis adalah normal, namun sekiranya kuantitinya banyak, ia mungkin menunjukkan terdapat masalah. Darah dalam najis juga boleh menjadi tanda wujudnya masalah, dan anda harus mendapatkan rawatan dengan segera.
7. Cirit-birit dan Sembelit
Bayi yang mengalami cirit-birit biasanya berair dan keluar dengan kerap. Ciri- ciri sembelit pada bayi pula adalah najis yang keras serta kesukaran bayi untuk membuang najis.
Warna najis hampir kesemuanya adalah selamat kecuali sekiranya warna najis itu keputihan atau sangat pucat. Ini boleh menjadi tanda penyakit hati. Sekiranya anda mengesan perubahan berterusan dalam najis bayi anda, bayi anda perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut.