Date Release: 16/10/2023
Kehamilan heterotopik (HP) adalah keadaan yang jarang berlaku apabila sekurang-kurangnya dua kehamilan (kembar) hadir secara serentak tetapi implantasi di tempat yang berbeza dan hanya satu yang terletak di dalam rahim.
Majoriti kes ini didiagnosis pada trimester pertama melalui Sono Ultrasound. Heterotopik juga kadangkala sukar dikesan secara spontan kerana dua kantung kadangkala hadir di dua tempat berbeza.
Heterotopik ini berlaku apabila telur yang disenyawakan tersangkut dalam perjalanan ke rahim, selalunya kerana tiub fallopio rosak akibat radang atau salah bentuk. Ketidakseimbangan hormon atau perkembangan abnormal telur yang disenyawakan juga mungkin memainkan peranan.
Kehamilan heterotopik boleh menjadi merbahaya seperti kehamilan ektopik dan menjadi lebih sukar kerana kebanyakan ibu bapa ingin mengekalkan kedua-dua kantung tetapi terpaksa menamatkan yang berisiko.
Janin yang terletak di luar rahim tidak dapat bertahan, dan kehadirannya boleh menyebabkan pendarahan yang mungkin mengancam nyawa ibu jika tisu pecah secara spontan.
Buat sesetengah kes heterotopik ini mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah Tiub fallopio ini pecah. Sesetengah lagi mungkin akan mengalami simptom seperti :
- Pendarahan faraj yang tidak normal
- Kembung perut
- Pengsan
- Loya / Muntah
- Sakit perut yang ringan hingga teruk atau kekejangan
- Pening
- Sakit di bahagian tepi
Kehamilan ektopik tidak boleh bergerak atau dipindahkan ke rahim, jadi ia memerlukan rawatan. Terdapat dua kaedah yang digunakan untuk merawat kehamilan ektopik iaitu ubat dan pembedahan.