Date Release: 27/10/2023
Tips Mengurangkan Rasa Sakit Belakang Bagi Wanita Hamil Yang Mengalami Lumbago
Lumbago, atau sakit belakang dibahagian bawah, adalah isu biasa semasa kehamilan. Ia sering terjadi berpunca daripada berat tambahan dan perubahan postur semasa hamil.
Lumbago adalah istilah yang digunakan bermaksud kesakitan dan ketidakselesaan di bahagian bawah belakang, khususnya di kawasan lumbar tulang belakang. Lumbago yang dialami samada ketidakselesaan ringan kepada sakit teruk dan boleh mengehadkan pergerakan seseorang dan aktiviti harian.
Sakit belakang atau lumbago semasa hamil boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, iaitu :
· Pertambahan Berat
Semasa hamil, berat badan ibu bertambah dan terdapat tekanan tambahan pada bahagian bawah belakang dan tulang belakang.
· Perubahan Pusat Graviti
Peralihan pusat graviti badan akibat rahim yang semakin membesar akan mengubah postur dan memberi tekanan pada bahagian bawah punggung.
· Ketidakseimbangan Otot
Pengagihan berat yang berubah-ubah boleh menyebabkan ketidakseimbangan otot, di mana otot-otot tertentu bekerja keras manakala yang lain lemah, dan ini menyebabkan ketegangan pada bahagian bawah belakang.
· Tekanan pada Otot Pelvik
Otot pelvis, yang menyokong tulang belakang dan organ perut akan menjadi tegang kerana rahim anda yang semakin membesar menjadi punca kepada sakit pinggang.
· Perubahan Hormon
Hormon seperti relaxin dikeluarkan semasa hamil untuk melonggarkan ligamen dan sendi bertujuan untuk menampung janin yang sedang membesar dan sebagai persediaan untuk bersalin. Perubahan hormon ini menyebabkan tulang belakang anda tidak stabil dan anda akan mudah merasa sakit belakang.
· Faktor Gaya Hidup
Contohnya seperti berdiri terlalu lama, mengangkat barang berat atau posisi badan semasa mengangkat barang yang tidak betul boleh memburukkan lagi sakit pinggang semasa hamil.
· Perubahan Postur
Badan anda kini menyesuaikan diri dengan perubahan bentuk perut, maka postur anda juga turut berubah. Postur yang lemah dengan kelengkungan berlebihan pada tulang belakang boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Ada beberapa tips yang boleh digunapakai untuk mengurangkan rasa sakit pinggang semasa hamil :
· Kekalkan postur yang baik untuk mengurangkan ketegangan pada bahagian bawah belakang anda.
· Pakai kasut yang selesa untuk membantu keseimbangan dan postur.
· Anda boleh menggunakan pek haba/ sejuk dikawasan yang sakit.
· Lakukan senaman lembut dan regangan selamat yang disyorkan oleh pakar dapat membantu menguatkan belakang anda dan mengurangkan kesakitan.
· Gunakan bantal kehamilan (pregnancy pillow) untuk menyokong perut anda semasa tidur.
· Urutan pranatal daripada ahli terapi terlatih boleh memberi kelegaan kepada anda.
Sakit belakang dibahagian bawah atau lumbago semasa hamil adalah kerap dialami dan dianggap perkara biasa, sekiranya kesakitan yang dialami semakin teruk atau berterusan, dapatkan nasihat dan pemeriksaan pakar supaya sebarang risiko dapat dikurangkan.